MAQAM IBRAHIM
1 TEMPAT BERSEJARAH
Al-Maqam bererti tempat kaki berpijak. Maqam ibrahim merupakan sebuah binaan yang mengandungi batu kecil yang terletak lebih kurang 20 hasta di sebelah timur kaabah. Semasa membangunkan ka'abah, Nabi Ismail menghulurkan batu - batu kepada bapanya Nabi Ibrahim dan Nabi Ibrahim menyusunnya untuk menjadikan Ka'abah. Tempat yang dipijak oleh Nabi Ibrahim itu semakin meninggi seperti lif saat pembinaan Ka'abah.
Ternyata salah dugaan kebanyakkan orang yang mengatakan Maqam Ibrahim ialah kubur Nabi. Sebaliknya, Maqam itu merupakan tempat Nabi berpijak. Di dalam binaan itu terdapat sebiji batu kecil yang diturunkan oleh Allah bersama-sama dengan batu-batu kecil lain yang terdapat di Hajarul Aswad.
Batu Maqam Ibrahim selalu dipelihara Allah sehingga sekarang dan sudah ditutup dengan perak. Kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27cm, lebar 14cm dan kedalaman 10cm yang hingga kini masih jelas kelihatan. Atas perintah Khalifah Al-Mahdi Al-Abbasi di sekeliling batu Makam Ibrahim itu telah diikat dengan perak dan dibuat kandang besi berbentuk sangkar burung.
Kelebihan Maqam Ibrahim adalah dijadikan tempat menunaikan solat.
Al-Quran telah merakamkan keutamaan ini seperti dalam Surah Al-Baqarah ayat 125 yang bermaksud:
“ Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim tempat solat ”
Dari segi bahasa, “Maqam” bererti tempat berpijak.
Maqam Ibrahim ialah batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s. untuk dijadikan tempat berpijak bapanya Nabi Ibrahim a.s. ketika mereka membina Kaabah. Dari atas batu inilah Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah dengan tangannya sendiri daripada batu-batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s.
Setiap kali bangunan Kaabah bertambah tinggi, batu (maqam) tersebut ikut naik seolah-olah ia berfungsi seperti tangga kren.
Diriwayatkan bahawa Said bin Jubair berkata: “Batu Maqam Ibrahim ini, Allah s.w.t. telah menjadikannya lembut dan ia sebagai rahmat. Nabi Ibrahim a.s. berdiri di atasnya manakala Nabi Ismail a.s. menghulurkan batu-batan kepadanya.
Di atas batu ini juga Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia supaya datang mengerjakan haji setelah selesai membina Kaabah.
Al-Fakihi meriwayatkan bahawa: “Apabila selesai membina kaabah, Allah s.w.t. telah memerintahkan agar Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia untuk datang mengerjakan haji. Nabi Ibrahim a.s. naik ke atas batu (Maqam Ibrahim) lalu berseru: “Wahai manusia! Telah difardukan ke atas kamu mengerjakan haji.”
Maka ia telah diperdengarkan kepada mereka yang berada dalam sulbi lelaki dan dalam rahim perempuan. Mereka yang beriman serta mereka yang telah ditulis oleh Alalh s.w.t. akan datang untuk mengerjakan haji hingga hari kiamat telah menyahutnya dengan menyebut: Labbaikallahumma labbaik.
Oleh sebab perbuatan ini merupakan salah satu daripada amalan yang dicintai oleh Allah, maka Allah s.w.t. telah menjadikan kesan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. ini kekal sebagai peringatan kepada orang yang beriman daripada keturunannya, bagi mereka dan seluruh manusia.
Kedudukan Maqam Ibrahim
Ulama berselisih pendapat mengenai kedudukan asal Maqam Ibrahim.
➽Pertama: Pada zaman Nabi Ibrahim a.a., seterusnya hingga ke zaman Rasulullah s.a.w., zaman Abu Bakar al-Siddiq dan Umar r.a. Mawam ini berada di tempat yang ada sekarang. Kemudian berlaku banjir pada zaman Umar bin al-Khattab r.a. lalu membawanya ke bahagian bawah makkah. Maka penduduk Makkah membawa dan meletakkannya di tepi kaabah, hingga datang Umar. Beliau telah bermesyuarat mengenai tempatnya yang asal dan meletakkan ia di tempat tersebut hingga ke hari ini.
Pendapat ini diriwayatkan oleh al-Azraqi dengan sanad yang sahih dan di sokong oleh Syeikh Said Bakdas.
➽Kedua: Pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan selepasnya, Maqam ini bersambung dengan Kaabah dan diletakkan sebelah kanan pintu, sehinggalah ia dipindahkan oleh khalifah Umat al-Khattab r.a. ke tempatnya hari ini.
Pendapat ini diriwayatkan oleh Badur Razzak dalam al-Musannaf dengan sanad yang sahih daripada ‘Ata’ dan lain-lain, juga daripada Mujahid. Al-Baihaqi pula meriwayatkan daripada Aishah r.ha. dengan sanad yang kuat bahawa:
“Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar al-Siddiq r.a., Maqam ini bersambung dengan Kaabah, kemudian Umar bin al-Khattab r.a. mengalihkannya ke belakang (ke tempatnya hari ini.)
Tiada seorang pun daripada kalangan para sahabat dan orang yang selepasnya mempertikaikan perbuatan Umar ini. Mereka semuanya bersetuju dalam hal ini.
Umar berpendapat kedudukan asalnya telah menyempitkan kawasan tawaf dan solat, lalu dia meletakkannya di tempat yang lebih baik bagi maslahat umum. Perbuatannya itu mungkin sudah diilhamkan oleh Allah s.w.t. kerana dialah yang mencadangkan pada awalnya agar tempat tersebut dijadikan sebagai tempat solat.
Pendapat ini di sokong olah al-Hafiz Ibn Kathir Ibn Hajar dan al-Mu’allimi r.hm. Wallahu a’lam.
Memandangkan bertambahnya bilangan jemaah haji dan umrah, kawasan tempat tawaf telah menjadi sempit. Tambahan pula ada sebahagian jemaah berhenti melakukan solat di belakang Maqam Ibrahim.
Pada tahun 1377H timbul fikrah (pendapat atau cadangan) untuk memindahkan Maqam Ibrahim ke belakang selepas pembesaran Masjidilharam. Maka timbul pro dan kontra dalam kalangan ulama Islam mengenai cadangan tersebut.
Buku pertama yang menyokong pemindahannya telah ditulias oleh Syeikh Abdul Rahman al-Mu’allimi al-Yamani, Pengarah Perpustakaan al-Haram al-Makki (meninggal dunia tahun 1386H) dan disokong oleh Syeikh Muhammad bin Ibrahim, iaitu bekas Mufti Am Arab Saudi (meninggal dunia tahun 1389H).
Ramai pula ulama yang menentang cadangan tersebut, kerana tempat tersebut telah dipilih oleh Rasulullah s.a.w. dan Khalifah Umar r.a. Mengekalkan Maqam Ibrahim di tempatnya adalah lebih baik, lebih-lebih lagi pada zaman yang penuh fitnah ini.
Pada musim haji tahun 1385H, Muktamar Rabitah al-‘Alam al-Islami telah membuat keputusan bahawa Maqam Ibrahim dikekalkan di tempatnya dengan di ubah suai lingkungan kaca tebal dengan ukuran yang lebih kecil untuk mengelakkan kesesakkan, maka ia kekal hingga ke hari ini.
Kelebihan Maqam Ibrahim
1. Dijadikan sebagai tempat solat yang diarahkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana dalam firman-Nya yang *bermaksud:
“Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang ama.n. Dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.” (Surah al-Baqarah: 125)
Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab r.a. berkata: “Pendapatku telah diterima oleh Tuhanku dalam tiga perkara. Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, kenapa tidak kita jadikan Maqam Ibrahim ini sebagai tempat solat?’ Kemudian ayat ini pun diturunkan.”
Qatadah r.hm. menerangkan tentang ayat ini: “Kamu disuruh bersolat di situ, tetapi tidak disuruh menyentuhnya. Kami telah diberitahu oleh mereka yang telah melihat kesan tapak kaki dan jarinya (Ibrahim a.s.). Manusia berterusan menyentuhnya sehingga kesannya tanggal dan hilang.”
Solat sunat tawaf di Maqam Ibrahim
Jabir r.a. telah meriwayatkan mengenai cara pelaksanaan haji Rasulullah s.a.w. dengan katanya: “Ketika ku sampai di Kaabah bersama Rasulullah s.a.w., Baginda terus mencium Hajarulaswad, kemudian (tawaf tujuh pusingan) berlari-lari anak pada tiga pusingan yang awal dan empat pusingan dengan berjalan biasa. Baginda lalu ke Maqam Ibrahim lalu membaca: ‘Dab jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.’ Rasulullah s.a.w. menjadikan Maqam Ibrahim berada di tengah antara Baginda dan Kaabah.”
2. Maqam Ibrahim merupakan batu dari syurga.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang *bermaksud: “Sesungguhnya Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim merupakan batu-batan dari syurga, Allah telah menghilangkan cahaya kedua-duanya, seandainya Allah tidak menghilangkan cahaya kedua-duanya, nescaya ia menerangi seluruh timur dan barat.”
Menurut riwayat al-Baihaqi: “Jika tidak kerana dosa anak cucu Adam, nescaya chayanya akan mampu menerangi seluruh timur dan barat dunia.”
3. Tempat makbul doa.
Menurut al-Hasan al-Basri (meninggal dunia tahun 110H) dan ulama-ulama lain, berdoa di belakang Maqam Ibrahim a.s. adalah amat mustajab.
4. Bukti Nyata (Aayaatun Bayyinat)
Maqam Ibrahim ialah bukti nyata tentang kekuasan Allah s.w.t. dan mukjizat Nabi Ibrahim a.s. yang kekal sehingga ke hari ini.
Firman Allah s.w.t. yang *bermaksud: Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk (tempat beribadat) bagi manusia ialah Baitullah yang berada di bakkah (Makkah) yang di berkati dan menjadi petunjuk bagi manusia. Padanya terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) yang nyata, (antaranya) Maqam Ibrahim. Sesiapa yang memasukinya akan mendapat keamanan. (Surah Ali ‘Imran: 96)
Maqam Ibrahim merupakan suatu tanda yang besar, mengandungi beberapa tanda kekuasaan Allah s.w.t. dan mukjizat yang nyata yang telah dizahirkan-Nya melalui batu ini, antaranya:
a. Kesan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. di batu yang pejal.
Allah s.w.t. akan menundukkan apa-apa saja dalam kalangan makhluk-Nya jika seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.
Kesan ini terukir di maqam yang telah dikenali oleh penduduk Tanah Haram. Abu Talib, bapa saudara Nabi s.a.w. pernah berkata mengenainya yang *bermaksud: “Tempat letak tapak kaki Ibrahim di batu yang dilembutkan – bagi kedua-dua tapak kaki yang tidak beralas.”
Persamaannya dengan tapak kaki rasulullah s.a.w.
Juga diketahui bahawa tapak kaki Rasulullah s.a.w. mirip dengan tapak kaki datuknya Nabi Ibrahim a.s. sebagaimana yang di riwayatkan oleh seorang sahabat, Jahm bin Huziafah al-Qurasyi r.a. (seorang yang pakar dalam ilmu mengenali waris) yang menyaksikan proses pembinaan Kaabah oleh Quraisy dan Ibn al-Zubir) berkata: “Sesungguhnya aku tidak perhah melihat sesuatu yang lebih sama, seperti samanya tapak kaki Rasulullah s.a.w. dengan tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. yang pernah kami lihat di Maqam.”
Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadis Isra’: “Aku melihat Nabi Ibrahim a.s. yang sangat hamper rupa dengannya.”
Ukuran Tapak Kaki Nabi Ibrahim a.s.
Seorang ahli sejarah Syeikh Mohd. Tahir al-Kurdi mengatakan bahawa kesan tapak kaki di Maqam itu sebelahnya sedalam 10cm manakala sebelah lagi 9cm, panjangnya 22cm dan mempunyai kelebaran 11cm. Ini menunjukkan bahawa nabi Ibrahim a.s. mempunyai ketinggian yang lebih kurang sama dengan kebanyakan lelaki pada masa ini. Hari ini bekas jari-jari kaki tidak nampak kerana Maqam dulunya terbuka dan ia hilang akibat sering disentuh oleh orang ramai.
b. Kekal sepanjang sejarah
Tidak sepertimana kesan para nabi dan rasul yang lain, walaupun terdapat beberapa usaha untuk mencuriny, juga terdedah terhadap cuaca dan banjir yang melanda Masjidilharam selama beribu-ribu tahun, namun sehingga kini ia tetap terpelihara dengan baik.
Pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. berlaku banjir besar yang dikenali dengan nama “Banjir Ummu Nahsyar”. Apabila banjir mulai surut, Umar r..a. segera pergi ke Maqam Ibrahim dan mendapatinya telah dihanyutkan ke satu dataran rendah di Makkah. Lalu Umar r.a. mengambil dan meletakkan ia di tempatnya semula.
Diriwayatkan oleh al-Fakihi pada suatu masa di Makkah terdapat seorang yang bernama Juraij (Yahudi atau Nasrani). Pada suatu malam Maqam Ibrahim didapati telah hilang, setelah dicari ternyata ada padanya, rupa-rupanya dia ingin membawanya kepada Raja Rom. Lalu diambil kembali Maqam Ibrahim daripadanya dan di penggal lehernya.
Al-Qaramithah yang telah mencuri Hajarulaswad juga cuba untuk mengambil Maqam Ibrahim, tetapi ia sempat disembunyikan oleh penjaga Masjidilharam.
Banyak lagi kejadian dan peristiwa yang menimpa Maqam Ibrahim sepanjang sejarah, Allah s.w.t. sahajalah yang menjaganya.
c. Terpelihara daripada menjadi sembahan kaum Musyrikin.
Pada zaman jahiliah, orang Arab menyembah berhala daripada batu-batan, tetapi tidak ada seorang pun yang diketahui pernah menyembah Hajarulaswad dan Maqam Ibrahim. Hal ini kerana penghormatan mereka terhadap kedua-duanya. Perkara ini merupakan kesucian yang dipelihara oleh Allah s.w.t., kerana Islam menghormati Hajarulaswad dengan cara mencium dan mengusapnya, manakala Maqam Ibrahim dihormati dengan cara bersolat di belakangnya. Jadi, tidak dapat dikatakan bahawa Islam telah member (atau memperakui) kehormatan terhadap sebhagian daripada berhala, kerana ini merupakan jenis ibadah yang membawa kepada syirik.
Dan banyak lagi kelebihannya.
Mengusap atau mencium Maqam Ibrahim
Mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang telah diajarkan bahawa mencium dan mengusap itu hanya khusus untuk Hajarulaswad dan Rukun Yamani. Sementara bagi Maqam Ibrahim, keutamaan dan kemuliaannya adalah dengan menjadikannya sebagai tempat solat. Oleh itu, mencium dan mengusap Maqam Ibrahim bukan sebahagian daripada sunah Rasulullah s.a.w. Sehinggakan ketika Abdullah bin al-Zubair r.a. melihat sekumpulan manusia yang sedang mengusap Maqam Ibrahim beliau berkata: “Wahai manusia kamu tidak disuruh untuk menyentuhnya tetapi disuruh untuk bersolat di situ.”
Perlu diingatkan di sini bahawa kebencian para ulama salaf dahulu terhadap perbuatan mengusap dan mencium Maqam Ibrahim ini terjadi ketika Maqam masih terbuka dan belum ditutup denagn sesuatu pun. Jadi, jika ia telah diletakkan di dalam kotak kaca yang tertutup pada masa sekarang, tentulah mengusap dan menciumnya lebih dibenci dan sangat tidak disukai.
0 ulasan: